Aktiviti
Ikram Academia
Kepentingan Integriti dalam Pengurusan Institusi Pendidikan Tinggi Tempatan
Ikram Academia memandang serius laporan mengenai rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pensyarah serta staf institusi pengajian tinggi (IPT).
 
Gejala ini mencalar imej akademia dan melemahkan kepercayaan masyarakat terhadap peranan IPT sebagai pembina generasi berakhlak dan bakal menjadi pemimpin masa depan negara.
 
Pendidikan tinggi adalah amanah besar yang mesti dipandu nilai ketelusan dan ihsan. Ihsan bermaksud kesedaran dalaman untuk melaksanakan tugas dengan penuh integriti, bukan sekadar mematuhi peraturan.
 
Pensyarah dan kakitangan akademik perlu menjadikan ihsan sebagai asas budaya kerja agar amanah dilaksanakan dengan jujur tanpa bergantung kepada pengawasan luaran.
 
Ikram Academia menyokong kursus Integriti dan Anti Rasuah yang telah diperkenalkan kepada pelajar. Namun, usaha ini mesti diperluas kepada warga akademik melalui pendekatan menyeluruh yang menekankan:

• Etika Profesional: Pengurusan dana dan tadbir urus dengan penuh tanggungjawab dan mempunyai operasi prosedur standard (SOP) yang jelas.
• Penghayatan Nilai Moral: Kesedaran bahawa setiap tindakan mencerminkan maruah seorang warga akademik.
• Penerapan prinsip Agama/Spiritual: Menyedari setiap pegangan mengganjurkan sikap telus dan amanah dalam kehidupan serta mendidik generasi muda.
 
Kami menyeru pimpinan IPT dan seluruh warga akademik untuk memperkukuh budaya anti rasuah berteraskan Ihsan. Hanya dengan komitmen menyeluruh, pendidikan dapat melahirkan insan yang berilmu, amanah, dan adil.
 
Ikram Academia
Ilmu. Amanah. Ihsan.
14 April 2026