KUALA LUMPUR, 30 Mac 2026 – Persatuan Akademia IKRAM Malaysia (IKRAM Academia) mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara Amerika Syarikat yang mengebom Iran’s University of Science and Technology (IUST) serta serangan bersama AS-Israel ke atas sebuah sekolah rendah di Minab pada 28 Februari lalu.
Serangan terancang di Minab yang mengorbankan lebih 175 pelajar dan guru secara kejam merupakan satu jenayah perang yang mencabuli nilai kemanusiaan sejagat.
IKRAM Academia menegaskan bahawa penyasaran sengaja ke atas infrastruktur akademik adalah pelanggaran nyata terhadap Konvensyen Geneva IV (1949) dan Protokol Tambahan I (1977).
Sekolah dan universiti adalah objek awam yang dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang antarabangsa. Alasan "keperluan ketenteraan" sama sekali tidak boleh menghalalkan pembunuhan terancang ke atas pendidik dan kanak-kanak.
Dalam masa yang sama, kami menyeru pihak berkuasa Iran agar tidak terjatuh ke dalam perangkap provokasi dengan membalas serangan ke atas mana-mana institusi akademik.
Pengisytiharan universiti sebagai "sasaran sah" hanya akan menormalisasikan epistemicide (penghapusan ilmu) yang sedang melumpuhkan masa depan negara-negara konflik seperti Gaza, Yaman, dan Syria (Laporan UNESCO, 2024). Sebagai pusat tamadun, Iran seharusnya mengekalkan kedudukan moral yang tinggi dengan melindungi kesucian institusi ilmu, walaupun di tengah-tengah kezaliman musuh.
Sehubungan itu, IKRAM Academia menuntut:
1. Amerika Syarikat dan Israel menghentikan serta-merta sebarang operasi ketenteraan ke atas fasiliti pendidikan dan mematuhi Safe Schools Declaration (2015).
2. UNESCO dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera menghantar misi mencari fakta bagi menyiasat kerosakan infrastruktur akademik serta memastikan perlindungan zon pendidikan diisytiharkan secara rasmi.
3. Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memulakan siasatan bebas ke atas tragedi Minab dan IUST bagi mendakwa individu yang bertanggungjawab melakukan jenayah perang ini agar mereka tidak terlepas daripada hukuman (impunity).
4. Pihak Iran menarik balik ancaman terhadap universiti berkaitan Barat bagi memastikan institusi pengajian tinggi kekal sebagai zon berkecuali yang selamat bagi semua warga akademik.
Mengebom institusi pendidikan bukanlah satu kejayaan taktikal, sebaliknya ia adalah tindakan pengecut yang menggadaikan masa depan tamadun manusia.
Kami berdiri teguh bersama warga pendidik sejagat dengan mesej yang jelas: Jangan bom masa depan kami.
Dikeluarkan oleh:
Persatuan Akademia IKRAM Malaysia (IKRAM Academia)
Disokong oleh:
BDS Malaysia
Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia
(IKRAM Health)